Dua lelaki warga asing ditahan polis susulan kematian seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Pertanian Teluk Intan yang maut akibat terhiris sabit berhulu panjang pada bahagian leher dalam satu kejadian di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa Adham Faisal, 18, berselisih dengan motosikal seorang lelaki yang membawa sabit berkenaan.
“Ketika kejadian motosikal dinaiki mangsa serta motosikal dinaiki lelaki membawa sabit berkenaan saling berhampiran antara satu sama lain di atas jalan, justeru menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan akibat terkena sabit itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bakri berkata, suspek masing-masing berusia 39 dan 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan selain polis merampas beberapa barangan berkaitan kejadian termasuk sabit berhulu panjang dan motosikal.
Tambahnya lagi, mangsa dilaporkan menunggang motosikal bersama rakannya yang mengalami kecederaan pada tangan dan kini menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman,” ujarnya.
Sumber: Facebook Polis Daerah Hilir Perak







































