Sebarang keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), termasuk berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat, diputuskan secara bersama dan bukan dibuat secara individu, tegas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Beliau berkata, di peringkat MAINPP, semua keputusan berkaitan zakat akan dibincangkan terlebih dahulu dalam jawatankuasa sebelum diangkat ke lembaga pengarah, walaupun mesyuarat dipengerusikan olehnya.
Beli Tanah Guna Dana Zakat?
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan keputusan berkaitan pembelian tanah dibuat mengikut urus tadbir yang jelas dan baik.
“Proses pembelian tanah adalah berdasarkan keputusan lembaga pengarah zakat berkaitan bantuan kepada asnaf sebelum pembelian tanah dibuat menggunakan dana tawaqquf atau lebihan yang diputuskan dalam mesyuarat MAINPP.
“Selain 15 ahli lembaga pengarah zakat, yang turut ada dalam mesyuarat itu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri dan turut melibatkan 17 ahli-ahli majlis MAINPP.
“Oleh itu, keputusan dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah mengikut urus tadbir yang jelas dan baik, namun isu ini ditimbulkan untuk wujudkan persepsi negatif sahaja,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan bahawa beliau seorang diri membuat keputusan pembelian tanah menggunakan dana zakat, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Artikel lain: “Ini Semua Adalah Politik Mahu Jatuhkan Saya..”- Dr Mohamad Enggan Ulas Dakwaan Dana Zakat
“Sudah semestinya sebagai Yang Dipertua MAINPP dengan dibantu Setiausaha MAINPP kita memberi kerjasama sepenuhnya. Mana-mana urusan berkaitan pihak berkuasa, kita serahkan dokumen malah beberapa pegawai telah pun dipanggil SPRM.
“Setakat sekarang saya belum lagi dipanggil pihak berkuasa, namun saya sedia dipanggil untuk memberi kerjasama kerana percaya siasatan dijalankan secara telus,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Sumber: BH Online (Nur Izzati Mohamad)










































