Bekas rakan kongsi yang juga bekas pengarah syarikat Richworks International Sdn. Bhd Datuk Zafrol Rizal Mat atau lebih dikenali sebagai Jerry Rizal memfailkan tuntutan saman berjumlah lebih RM24 juta kepada pengasas syarikat berkenaan, Datuk Azizan Osman dan isterinya, Hasdiana Ahmad.
Tuntutan itu difailkan Jerry Rizal selaku plaintif menerusi notis writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Bekas Rakan Kongsi Saman Dr Azizan Osman
Selain Azizan dan Hasdiana, turut dinamakan sebagai defendan ialah Richworks Academy Sdn. Bhd. (RASB) dan Hasnita Ahmad, yang juga kakak ipar Azizan serta Pengarah Eksekutif syarikat tersebut.
Menerusi pemfailan tersebut, Jerry mengemukakan 18 tuntutan yang melibatkan pelbagai aspek termasuk pendapatan, pinjaman yang didakwa diberikan secara pendahuluan, tunggakan kad kredit, perbelanjaan peribadi bagi keluarga Azizan serta beberapa tuntutan ganti rugi lain.
Antara tuntutan signifikan termasuk kos terapi dan persekolahan anak Azizan serta perbelanjaan hartanah di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Jerry turut menuntut deklarasi pemilikan atau pindah milik harta daripada defendan melibatkan beberapa aset mewah seperti Toyota Alphard, Ferrari Roma, unit kondominium di Sri Hartamas, dua jam tangan mewah Hublot dan Rolex serta cincin satu karat Habib Jewels.
Beliau turut menetapkan kadar faedah lima peratus ke atas tuntutan bermula dari tarikh pemfailan hingga tarikh penyelesaian penuh.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan melalui Tetuan Nazmi Zaini Chambers, Jerry mendakwa beliau telah memberikan pinjaman berjumlah RM1.32 juta kepada RASB melalui dua cek bertarikh 21 Disember 2022 dan 19 Disember 2023. Tambahan RM620,000 juga didakwa dibayar bagi menjelaskan cukai pendapatan Hasdiana.
“Terdapat pendahuluan diberikan atau dimanfaatkan RASB atas pelbagai tujuan mencecah RM203,828.98 bagi tujuan seperti pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan, ansuran bulanan dan cukai jalan Mercedes GLB milik RASB dan lain-lain,” katanya.
Menurutnya lagi, kad-kad kredit miliknya digunakan untuk menampung operasi harian RASB sejak tahun 2021, yang kini mengakibatkan tunggakan sekitar RM1.6 juta.
Beliau juga mendakwa membiayai perbelanjaan peribadi Hasnita antara 2018 hingga 2023 termasuk yuran terapi dan persekolahan anak Hasnita berjumlah RM396,551.80.
“Plaintif memplidkan, perbelanjaan tersebut diberikan secara non-gratuitous yang mana perbelanjaan-perbelanjaan tersebut adalah dalam pengetahuan atau sepatutnya dalam pengetahuan Hasnita.
“Dokumen-dokumen berkenaan perbelanjaan ini akan dikemukakan ketika perbicaraan kelak,” ujarnya dalam dokumen mahkamah.
Artikel lain: Didakwa Jadi Punca Remaja Ketagih Media Sosial, Meta Hadapi Tuntutan Mahkamah Di AS
Mengulas latar belakangnya dalam syarikat, Jerry mendakwa beliau dilantik sebagai Pengurus Besar pada tahun 2011 sebelum dinaikkan sebagai pengarah operasi serantau pada 2013.
Namun, katanya, jawatan itu tidak pernah didaftarkan secara rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Plaintif memplidkan, walaupun jawatan yang disandang tersebut adalah sebagai pengarah, namun syarikat tidak mendaftarkan namanya sebagai pengarah dalam daftar syarikat RASB di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Oleh itu, jawatan pengarah tersebut hanya pada nama semata-mata tanpa sebarang pendaftaran rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.
Sumber: Utusan Online (Mohamad Athir Bin Ismail)
