Pemergian pendaki, Mustaqqeem Mansor yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Muallim, Perak pada 16 Oktober lalu meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakannya, khususnya mereka yang sering bersamanya di padang bola.
Arwah Mustaqqeem selalu usung kawan cedera
Luahan seorang rakan, Nik Ahmad Ramadhan di laman Facebook menjadi tular apabila dia berkongsi kenangan bersama arwah yang disifatkan sebagai rakan setia, ringan tulang dan sentiasa ada untuk membantu.
“Kat phone aku ni, penuh gambaq hang usung player bawak keluaq. Tapi tu lah Mus, sampai hati ‘kawan2’ hiking hang tak usung hang keluaq masa hang injured nohh.
“Kesian hang,” tulis Nik dalam hantaran tersebut, mengimbas kenangan arwah yang sering mengusung rakan sepasukan yang cedera keluar dari padang.
Menurut Nik, Mustaqqeem bukan sekadar pemain biasa, tetapi antara tulang belakang pasukan bola sepak mereka, menjadi pengurus tidak rasmi, pereka poster, malah bertindak sebagai ‘fisio’ setiap kali ada perlawanan.
“Dah jadi sebahagian hidup aku dah jumpa hang ni… Bukan nak jumpa sangat pun tapi sebab hang orang kuat aku untuk uruskan team kita ni, nak tak nak memang kena hadap muka hang,” luahnya berseloroh.
Nik turut berkongsi detik dia menunggu di kaki Gunung Liang selepas dimaklumkan Mustaqqeem hilang, sebelum menerima berita duka bahawa rakannya telah meninggal dunia.
“Perjalanan lima jam dari Aloq Staq, aku dah la barai jaga baby sampai pukul 4 pagi. Demi hang, takde hal lah,” katanya.
Artikel lain: “Pasaipa Hangpa Tinggal Dia?”- Ibu Reda Pemergian, Terkilan Anak Ditinggalkan Rakan Di Gunung Liang
Terdahulu, Mustaqqeem dilaporkan menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober bersama 10 rakan pendaki lain sebelum hilang dan akhirnya ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Dalam masa yang sama, Nik menutup coretannya dengan janji untuk meneruskan legasi pasukan bola sepak yang pernah diuruskan arwah.
“Insya-Allah kami geng management akan teruskan legasi team bola hang ni. Kami tak mampu nak buat macam hang, tapi kami cuba nohh,” ujarnya lagi.
Luahan penuh emosi itu kini tular di media sosial, menggambarkan betapa besar kasih dan penghormatan rakan-rakan terhadap Mustaqqeem iaitu seorang yang dikenali bukan sahaja sebagai pendaki dan pemain bola, tetapi juga sebagai sahabat yang tak pernah tinggalkan rakan dalam apa jua keadaan.
Sumber: Facebook Nik Ahmad Ramadhan
