“Arwah adalah anak harapan keluarga untuk menjadi seorang guru kerana menjadi satu-satunya anak yang menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan..”
Itu luahan daripada abang kepada Nurly Shahirah Azman, 23, yang maut dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Menurut laporan Harian Metro, Mohd Najmuddin, 28, berkata adik bongsu daripada lima beradik itu adalah seorang hafizah al-Quran.
Anak harapan keluarga
Foto: Harian Metro
Ujarnya, arwah sering menjadikan al-Quran sebagai pendamping hidup dan disenangi orang sekeliling dengan personalitinya yang baik.
“Sebelum bertolak ke bandar Jertih untuk naik bas malam tadi, arwah sempat beritahu minggu depan mahu ke rumah saya di Kajang, Selangor kerana mahu bertemu dengan anak saya yang baru lahir,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini, hari ini.
Jelas Mohd Najmuddin lagi, dia bertolak pulang ke Selangor kira-kira jam 3 pagi, namun menerima berita mengenai kejadian menimpa adik lelakinya sekitar jam 6 pagi ketika berada di Gua Musang, Kelantan, sebelum berpatah balik ke Besut.
Artikel lain: Nahas UPSI: YPM Salur Sumbangan Kilat RM1,000 Kepada Mangsa
Anak harapan keluarga
“Saya mencari maklumat berkaitan adik melalui rakan-rakan sekerja di hospital namun nama adik tiada dalam senarai nama mangsa yang dirawat,” katanya.
Sementara itu, abang sulung arwah iaitu Mohamad Farid Firdaus, 36, memberitahu Nurly Shahirah yang juga merupakan pelajar dalam jurusan Pendidikan Khas sepatutnya menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nering pada Ogos ini.
“Kali terakhir saya berjumpa adik petang semalam ketika menghadiri majlis kenduri di rumah saudara di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan 15 orang dilapor disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Upsi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban adalah 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan seorang kelindan bas yang membabitkan 10 wanita dan lima lelaki.
Sumber: Harian Metro (Nurul Fatihah Sulaini)
