Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar tidak berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bagi mengisi kekosongan kerusi susulan pemergian bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Anak Bung Moktar tidak berhasrat tanding
Dalam satu perkongsian di Facebook, Mohd Naim menyifatkan DUN Lamag bukan sekadar kawasan baharu, tetapi sebuah tanah perjuangan yang dibangunkan dengan keringat dan maruah rakyat sejak diwujudkan pada 2020.

Foto: FB Naim Moktar
Beliau yang diamanahkan sebagai Pengarah mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRUDU Sabah 2025 mengakui wujud sentimen masyarakat yang mahu beliau menggantikan arwah bapanya namun menegaskan keputusan calon adalah hak parti dan bukan keputusan peribadi.
“Saya hargai sokongan yang mahu saya sendiri bertanding, namun calon adalah keputusan parti dan bukanlah keputusan peribadi semata-mata. Selaku ahli yang setia, saya menghormati sepenuhnya apa sahaja keputusan itu,” tulisnya pada Khamis.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada warga Lamag yang menerima Allahyarham Bung Moktar sebagai pejuang mereka, namun berkata secara peribadi dirinya tidak berniat untuk bertanding kerana berpendapat kawasan itu wajar diserahkan kembali kepada anak jati Lamag bagi meneruskan kesinambungan perjuangan.

Foto: FB Naim Moktar
Mohd Naim turut menggesa BN menampilkan pengganti yang benar-benar layak, dengan menekankan beberapa ciri yang menurutnya tidak boleh dikompromi.
Katanya, calon ideal perlu merupakan anak jati Lamag yang lahir, membesar dan menetap di kawasan berkenaan serta berusia bawah 50 tahun bagi memastikan calon itu memiliki kekuatan fizikal dan keupayaan bekerja secara agresif.
Artikel lain: PRN Sabah: Tiada Pertembungan Kerusi BN Dan PH – Mohamad Hasan
Selain itu, calon tersebut perlu mempunyai latar pendidikan yang kukuh bagi memimpin masyarakat dengan ilmu, serta menunjukkan kesetiaan teguh kepada perjuangan parti sebagaimana ditunjukkan arwah bapanya.
“Saya membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang memenuhi kriteria ini. Selaku pengarah saya akan bekerja berhabisan untuk memastikan kemenangan calon tersebut,” katanya sambil menegaskan bahawa Lamag memerlukan pemimpin yang berani, dekat dengan rakyat dan sedia berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sabah pada jam 1.46 pagi Jumaat lalu, kurang seminggu selepas dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag bagi penggal kedua.

Foto: Harian Metro
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mengekalkan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Di peringkat nasional, Allahyarham pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan bahawa mesyuarat khas akan diadakan pada 16 Disember ini bagi membincangkan urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Sumber: Facebook Naim Moktar







































