Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza dalam kejadian pada 23 Oktober lalu.
Ahli perniagaan dan adik mengaku tidak bersalah
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, dan adiknya, Mohd Mustakim Abdullah @ Ali, 31, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan sengaja merosakkan kereta milik seorang wanita hingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000.

Foto: Harian Metro
Kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Buluh, Jalan Tok Raja, kira-kira jam 11 malam pada tarikh berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser, tidak mengemukakan rayuan bagi mengurangkan jumlah jaminan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi serta mangsa.
Artikel lain: Isu Tudung Punca Peniaga Dan Pengawal Keselamatan Bergaduh Di Masjid
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 November 2025 di Mahkamah Majistret Besut bagi serahan dokumen.
Dalam prosiding berasingan, Mohd Mustakim turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama tiga individu lain atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Hafizie Wan Mohamad, 36, di lokasi dan waktu sama.
Tiga lagi tertuduh ialah Ramli Mohd, 56, Muhammad Shafiq Hakimi Hussain, 21, dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd Mazli, 23.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan

Foto: Buletin TV3
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi dan mangsa.
Dalam masa sama, mangsa dalam kes berkenaan, Wan Hafizie Wan Mohamad, turut didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan terhadap Mohamad Azlan di lokasi dan waktu sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, namun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Wan Hafizie, yang diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar, dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500.
Sumber: Harian Metro (Nurul Fatihah Sulaini)







































