Personaliti media sosial, Abe Wee meluahkan rasa bengang selepas terkena serpihan mercun ketika sedang menikmati juadah di sebuah kedai makan dipercayai di Port Dickson.
Abe Wee bengang individu main mercun dekat kedai makan
Dalam video tular di TikTok, kelihatan adiknya yang juga pempengaruh media sosial, Mek Yun dan beberapa individu lain sedang menikmati hidangan mereka apabila mercun meletup terlalu dekat.
Bunyi letupan, asap tebal serta serpihan mercun secara tiba-tiba memenuhi kawasan sekali gus mencemarkan makanan dan minuman yang sedang dinikmati mereka.
“Abe Wee faham, raya Cina setahun sekali. Semua orang nak main mercun, nak suasana meriah tapi tolong tengok tempat.
“Sebelah kedai makan dan orang tengah makan, tiba-tiba penuh asap mercun. Bazir je roti sardin dan teh ais Abe Wee. Bau asap dan kena serpihan mercun,” tulisnya pada Rabu.
Dia menegaskan bahawa perkongsian video ini bukan bertujuan untuk menghalang sambutan perayaan atau menegur sesiapa secara peribadi, tetapi lebih kepada mengingatkan warganet tentang nilai toleransi dan kesedaran sosial.
“Kalau nak main, main waktu yang sesuai. Pagi sebelum kedai buka, atau kawasan yang lebih terbuka. Ini bukan raya Cina sahaja. Apa-apa perayaan pun sama.
“Dan ini bukan dari orang Cina marah orang Cina. Ini cuma “common sense”. Tolong hormat tempat. Hormat orang sekeliling,” tegas pemilik nama Wee Chuan Chin itu lagi.
Artikel lain: Mek Yun Beli Rumah Pertama, Titip Pesanan Buat Wanita – “Pastikan Ada Aset Sendiri”
Namun begitu, Abe Wee menekankan sekali lagi supaya mesej video ini tidak disalah tafsir kerana keseronokan semasa perayaan tidak seharusnya mengganggu orang lain, malah penting untuk menghormati serta memikirkan orang sekeliling.
“Abe Wee kongsi video ni bukan nak marah atau hentikan mercun, tapi nak kongsi pentingnya sikap toleransi dalam diri kita,” ujarnya.
Setakat artikel ini ditulis, video berdurasi 25 saat itu meraih lebih setengah juta tontonan selain ratusan komen netizen yang menyokong kenyataan Abe Wee.
Sumber: TikTok @abewee1







































