Belum cukup sebulan ditayangkan, filem animasi arahan Nizam Abd Razak iaitu Mechamato terbitan Animonsta Studios (Monsta) dan Astro Shaw berjaya memecah rekod kutipan panggung bagi filem animasi tempatan.
Cukup membanggakan dengan sentuhan karya anak tempatan! Mana tidaknya, Mechamato Movie meraih tempat pertama dalam carta kutipan tertinggi filem animasi tempatan apabila mengumpul RM30.75 juta selepas 22 hari ditayangkan.
Pencapaian ini sekaligus berjaya memintas kutipan produksi animasi Hollywood yang ditayangkan di negara ini seperti Minions 2: The Rise of Guru (2022), Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2 dan How to Train Your Dragon: The Hidden World.
Malah, filem animasi tempatan ini dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengatasi filem animasi Frozen 2 (2019) yang meraih kutipan tertinggi setakat ini.
Mengulas lanjut, Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin berterima kasih kepada penonton yang hadir memberi sokongan sehingga menjadikan Mechamato Movie sebagai antara filem animasi terlaris di pasaran.
“Sokongan penonton dan pengusaha pawagam terhadap Mechamato Movie berjaya mengangkat filem ini untuk menjadi antara produksi animasi terlaris di negara ini.
“Kejayaan ini memberikan petanda positif penonton tidak lagi ragu-ragu memberikan sokongan kepada karya seni anak tempatan,”katanya.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak produksi Mechamato Movie atas pencapaian membanggakan! Bagi mereka yang belum berpeluang untuk menonton filem animasi hebat, korang boleh tonton di pawagam berdekatan.
Difahamkan, Filem Mechamato Movie ini dijangka akan terus berada di pawagam sehingga akhir Januari 2023. Selamat menonton! Korang pasti takkan kecewa!
Sumber: Mstar