Baru-baru ini, mahkamah Pakistan telah memutuskan membebaskan seorang perogol selepas dia mengahwini mangsa tersebut dalam satu penyelesaian yang diuruskan oleh majlis orang tua telah mencetuskan kemarahan ramai.
Menurut laporan Harian Metro, keputusan tersebut telah membuatkan aktivis hak asasi manusia tidak berpuas hati kerana ia dianggap tidak memperjuangkan keadilan sewajarnya terhadap wanita.
Difahamkan juga, majoriti kes rogol di negara tersebut tidak dilaporkan yang menyebabkan keganasan seksual terhadap wanita berlaku secara berleluasa dan ini sangat menyedihkan.
Pada Mei lalu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Dawlat Khan, 25, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah rendah di daerah Buner di wilayah Khyber Pakhtunkhwa kerana merogol seorang wanita pekak.
Namun begitu, dia telah dibebaskan selepas membuat perbincangan di luar mahkamah memandangkan suspek dan mangsa datang daripada keluarga yang sama.
Pada awal tahun ini, Khan telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana mangsa melahirkan seorang bayi dan hasil DNA mendapati, bayi tersebut merupakan anaknya.
Bagaimanapun, agak sukar untuk mendakwa Khan atas jenayah rogol memandangkan wanita di Pakistan dianggap sebagai warganegara kelas kedua.
Sumber: Harian Metro (AFP)