Sahkan tamat kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) selepas dua tahun berkhidmat di Washington, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mahu pulang bantu Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum 16 (PRU16).
Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas menteri pelancongan itu turut menolak sekiranya nama dicadangkan Putrajaya untuk meneruskan khidmatnya di AS.
Nazri Aziz mahu pulang bantu Anwar pada PRU16
“Tak boleh saya nak tolong PMX kalau saya di AS sahaja kena balik 2027 (jika kontrak disambung dua tahun) PRU dah terlepas.
“Saya tak peduli orang lain dan akan bantu dia, bukan bertanding (sebagai calon pada PRU16),” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri menyatakan tempoh pelantikannya hanya dua tahun memandangkan beliau adalah lantikan politik dan bukannya diplomat.
Artikel lain: Garis Panduan Muslim: JAKIM Boleh Nasihat Orang Islam, Dasar Perlu Ambil Kira Aspek Perpaduan
“Jadi esok hari terakhir dan saya telah buat persiapan untuk balik Malaysia 14 Feb depan iaitu seminggu sebelum visa saya mati,” maklumnya.
Nazri Aziz mahu pulang bantu Anwar Ibrahim
Sementara itu, Mohamed Nazri turut menggelar Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kiang Ming sebagai dangkal kerana mendakwa dirinya gagal mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Presiden AS, Donald Trump.
Menurutnya, sekiranya Anwar tidak dapat bercakap dengan Trump bukan bermakna Malaysia mempunyai kekurangan memandangkan negara ini mengambil pendirian menyokong Palestin.
“Kita kena baca bahawa hubungan Malaysia dengan AS satu peringkat bawah berbanding negara yang Ong sebutkan (Filipina, Thailand, dan Singapura)…kita kena faham pendirian kita keras kutuk Israel.
“Jadi, kita lihat pentadbiran Trump macam mana iaitu nak ambil Gaza. Maksudnya, beliau tak suka kita punya pendirian. Kalau tak suka pendirian kita, (Trump) tak nak bercakap dengan Anwar biarlah. Mengapa kita rasa kita kurang,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Nazri turut menyebut kejayaan dicapainya selama dua tahun menjadi diplomat di AS, antaranya peningkatan pelaburan negara, kejayaan Malaysia naik ke tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 dan membawa pulang dua rakyat Malaysia dipenjara di Guatanamo.
Sahkan tamat kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke AS, Nazri Aziz mahu pulang bantu Anwar
“Kalau nak dianggap mengenai kejayaan, ini adalah kejayaan. Jadi pandangan Ong tak boleh dipakai kerana dia cakap benda tidak munasabah,” katanya.
Sekadar info, Nazri mula memegang jawatan itu sejak 9 Feb 2023 dan dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara menurut Kementerian Luar Negeri.
Beliau berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta menteri pelancongan dan kebudayaan (2013 hingga 2018).
Sumber: Free Malaysia Today (Anne Muhammad)