Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan mengenai permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 melalui sistem UPUOnline yang akan berlangsung dalam dua fasa.
Pelajar boleh mula memohon UPUOnline 10 Februari
Foto: Carian Google
Menerusi satu kenyataan, KPT memaklumkan Fasa Pertama bermula dari 10 Februari hingga 14 Mac 2025, manakala Fasa Kedua akan dibuka dari 14 April hingga 18 Mei 2025.
“Peluang kemasukan ini meliputi program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam, 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan dua institusi MARA Bahagian Pendidikan Tinggi.
“Para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf boleh memohon untuk semua program pengajian semasa Fasa Pertama, sementara Fasa Kedua hanya dibuka untuk program pengajian yang tidak memerlukan temu duga dan/atau ujian,” katanya hari ini.
Sementara itu, nombor Pin UPUOnline yang diperlukan untuk permohonan boleh dibeli bermula 9 Februari 2025 melalui pelbagai saluran Bank Simpanan Nasional termasuk 350 kaunter cawangan, 700 mesin ATM, dan perbankan internet myBSN.
Tawaran pendidikan tinggi kali ini menyediakan peluang yang luas dengan 350 program pengajian untuk lepasan SPM dan 1,131 program pengajian untuk lepasan STPM atau etaraf di seluruh institusi pengajian tinggi awam negara.
Pemohon diingatkan untuk menyimpan slip pembayaran sebagai bukti pembelian Nombor Pin selain diminta mengambil peluang keemasan ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.