Seorang pempengaruh sosial warga Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang telah pun ditahan oleh pihak polis Taiwan.
Foto: Instagram ady.hu
Menurut laporan Berita Harian, penahanan tersebut berlaku pada 11 Disember lalu di Balai Polis Yuanlin, Daerah Changhua, melibatkan seorang pempengaruh asal Malaysia berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Hu Chang Mun.
Individu tersebut didakwa terlibat sebagai keldai wang untuk sindiket penipuan semasa berada di Taiwan.
Artikel lain: Leka Bermain Telefon Bimbit, Pempengaruh Kemalangan Ketika Pandu ‘Supercar’ Bernilai RM1.27 Juta
Chang Mun dilaporkan terbabit dalam kes penipuan pelaburan yang menyasarkan seorang wanita Taiwan berusia 40 tahun.
Mangsa telah mengalami kerugian kewangan yang besar selepas menyertai platform pelaburan yang kononnya menjanjikan keuntungan terjamin di media sosial.
Penangkapan dilakukan semasa pertemuan ketiga Chang Mun dengan mangsa untuk penyerahan wang sebanyak NT$2 juta (kira-kira RM276,000).
Ketika ditahan, Chang Mun yang berpakaian sut dan berkaca mata kelihatan terkejut dan bingung, manakala pihak polis telah merampas wang tunai, telefon kerja dan bukti-bukti berkaitan.
Menurut pengakuannya, Chang Mun mendakwa dirinya masuk ke Taiwan di bawah program kemasukan tanpa visa dan tidak menyedari penglibatannya dalam sindiket penipuan tersebut.
Foto: Instagram ady.hu
Suspek kini menghadapi dakwaan penipuan, pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang perbankan, serta masih ditahan sementara menunggu siasatan lanjut.
Sebelum penahanannya, Chang Mun dilaporkan melancong bersama seorang ‘lelaki misteri’ dan menghantar mesej kepada keluarganya memaklumkan akan melanjutkan tempoh tinggal di luar negara sebelum tidak dapat dihubungi.
Pihak berkuasa Taiwan telah memaklumkan perkara ini kepada Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei selepas mengesahkan identiti Chang Mun.
Sumber: Berita Harian