Seorang murid lelaki tahun enam meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang, semalam.
Foto hiasan
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 6.30 petang.
“Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” katanya.
Menurut beliau, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan pihak polis masih lagi menunggu laporan bedah siasat.
“Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian,” jelas AA Anbalagan.
Artikel lain: Tiga Maut, Seorang Selamat Terkena Renjatan Elektrik Ketika Pasang Panel Solar
Kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam pada itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.
Sumber: Buletin Tv3