Penantian hampir dua dekad pasangan suami isteri ini akhirnya berakhir dengan penuh bermakna apabila mereka dikurniakan seorang bayi lelaki pada 17 Oktober lalu.
Hampir dua dekat menunggu zuriat
Menurut laporan Harian Metro, lebih istimewa kelahiran bayi lelaki yang dinamakan Sheikh Muhammad Mohd Khairuddin itu jatuh pada 25 Rabiulakhir, iaitu tarikh lahir yang sama dengan bapanya, Mohd Khairuddin Ahmad, 51, mengikut kalendar Islam.

Foto: FB Noorul Izzah Marzuki
Menurut Mohd Khairuddin yang menetap di Sungai Ramal Dalam, dia dan isteri, Noorul Izzah Marzuki, 44, telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan melalui pelbagai ujian sebelum dikurniakan zuriat pertama selepas 19 tahun bersama.
Artikel lain: “Kami Tunggu 10 Tahun Timang Anak Perempuan, Kini Dia Pula Tiada” -Isteri Anggota FRU
“Selepas berkahwin, isteri pernah hamil pada 2007 tetapi kandungan gugur ketika usia enam bulan. Kami kemudian mencuba dua kali rawatan IVF namun gagal.
Malah, ada ketika kami tidak diterima untuk rawatan kerana masalah berat badan,” katanya.
Tambahnya, percubaan ketiga IVF akhirnya membawa khabar gembira apabila isterinya disahkan hamil.

Foto: FB Noorul Izzah Marzuki
“Rasa sukar nak percaya bila tengok anak sendiri dalam pelukan. Selepas bertahun menunggu, ia bagaikan mimpi menjadi nyata,” ujarnya.
Walaupun tempoh penantian begitu panjang, Mohd Khairuddin menegaskan beliau tidak pernah terfikir untuk mencari isteri lain.
“Saya tak pernah berniat untuk berkahwin lagi. Bagi saya, tak ada anak bukan alasan untuk berbuat begitu. Belum tentu juga kalau kahwin lain akan dapat zuriat.
Ada yang cadangkan ambil anak angkat, tapi kami masih mahu berusaha dengan cara sendiri,” jelasnya.

Foto: FB Noorul Izzah Marzuki
Dia juga menceritakan bahawa ketika menunaikan ibadah haji tahun lalu, doa untuk memperoleh anak menjadi antara permintaan utama mereka di Padang Arafah.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami. Kini saya hanya mahu membesarkan anak dengan sebaik-baiknya dan berharap dia akan menjaga ibunya bila saya tiada nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Noorul Izzah turut meluahkan rasa syukur yang tak terhingga kerana penantiannya tidak sia-sia, akhirnya dia dapat merasai nikmat bergelar ibu selepas hampir dua dekat menunggu.
“Waktu dapat tahu saya mengandung pun saya tak sangka. Syukur, sepanjang tempoh mengandung semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar,” ungkapnya.

Foto: FB Noorul Izzah Marzuki
Noorul Izzah juga menitipkan semangat buat pasangan lain yang masih berusaha mendapatkan zuriat.
“Tekanan itu memang ada, tapi saya selalu anggap orang yang bertanya tentang zuriat sebenarnya sedang mendoakan kami. Untuk pasangan lain, jangan putus asa, teruskan berdoa dan berikhtiar kerana rahmat Allah itu luas,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam)







































