Seorang wanita nafi jadi proksi kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sambil menyifatkan tuduhan yang dibuat ahli perniagaan, Albert Tei sebagai palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
Dalam satu klip video yang tular, Sofia Rini Buyong menjelaskan beliau tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan dakwaan yang ditimbulkan Tei.
Wanita Nafi Jadi Proksi Shamsul Iskandar
Beliau turut menegaskan tidak pernah berbincang dengan Shamsul Iskandar mengenai sebarang proses permohonan lesen perlombongan di Sabah, serta tidak mengetahui tindakan Tei yang didakwa merakam pertemuan mereka.
Menurut Sofia, tuduhan tersebut direka dengan tujuan tertentu.
Beliau berkata pertemuan lebih sejam bersama Tei yang dirakam itu sebenarnya telah dirancang oleh ahli perniagaan berkenaan tanpa pengetahuan dirinya.
“Sepanjang perjumpaan tersebut, Albert berkali-kali mengulangi naratifnya dan beliau telah berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratif beliau.
“Perbuatan ini seolah-olah satu konspirasi jahat untuk mencemarkan nama PM Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shamsul Iskandar,” katanya.
Sofia menyifatkan tindakan Tei sebagai cubaan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Shamsul Iskandar berkemampuan mendapatkan semula wang yang didakwa disalurkan kepada ahli politik di Sabah, memandangkan tiada perbincangan sebegitu pernah berlaku antara mereka.
Susulan itu, Sofia memaklumkan beliau telah mendapatkan nasihat guaman dan meminta polis membuka siasatan terhadap Tei di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sofia membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Sentul pada jam 8.45 malam, semalam.
Dalam laporan tersebut, beliau menegaskan bahawa Shamsul Iskandar tidak mempunyai pengetahuan mengenai proses lesen carigali mineral di Sabah.
“Saya juga menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan Tan Sri Azam Baki dan tidak tahu sama ada Tan Sri Azam Baki ada berjumpa dengan sesiapa pun.
“Apa yang didedahkan di dalam video berkenaan adalah skrip rekaan oleh Albert Tei.
“Saya juga merekayasa cerita saya dalam video tersebut dan mengiyakan apa yang dicakap oleh Albert Tei atas tekanan darinya dan setakat pengetahuan saya, Albert tidak pernah berjumpa dengan PMX,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan pendedahan Tei yang mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan PMX itu atas keyakinan bahawa wang tersebut boleh diperoleh semula sebagai bayaran politik di Sabah.
Turut tular ialah tangkap layar perbualan WhatsApp serta beberapa gambar yang dikongsikan oleh Tei bagi menyokong dakwaan berkenaan.
Artikel lain: SPRM Sedang Jejaki Adam Radlan, Bantu Siasatan Kes Projek Mex 2
Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya, mendakwa terdapat pihak yang cuba menyerangnya dengan isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan semalam memaklumkan beliau menerima peletakan jawatan tersebut dan menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sumber: FB Malaysia Gazette










































