Pelakon dan penyanyi Ahmad Al Ghazali mendedahkan pengalaman hampir setahun mendepani bahtera perkahwinan bersama isteri Alyssa Daguise yang menurutnya penuh dengan cabaran dan sangat kompleks.
Anak sulung pemuzik Ahmad Dhani dan Mia Estianty itu berkata tanggungjawab sebagai seorang suami dan bakal bapa banyak mematangkan cara berfikirnya.
“Sebenarnya, wanita ‘complicated’ sejak lahir. Bahkan, kadang-kadang mereka sendiri tak tahu yang ‘complicated’.
“Tapi untuk saya yang baru setahun jagung berkahwin, itu semua adalah kelemahan yang harus diterima dan dibela,” katanya pada sidang media konsert Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia.
Dalam menjaga keharmonian rumah tangga, Al Ghazali mengamalkan prinsip bertolak ansur dan kesabaran.
“Kalau dia sedang marah, dan kita pun marah balik memang takkan selesai masalah,” tambahnya.
Ditanya mengenai perbezaan hidup sebelum dan selepas berkahwin, Al Ghazali, 29, berkata beliau kini lebih bertanggungjawab dan jelas arah hidup terutama dalam memberi nafkah kepada isteri.
Artikel lain: Ahmad Dhani Dedah Al Ghazali Nikah Tahun Depan, Pilih Tarikh 25.05.25?
Pasangan ini bakal menimang cahaya mata pertama pada Mei ini dan mengambil langkah membesarkan anak secara sederhana serta menjaga privasi termasuk membuka akaun Instagram yang dikunci bagi tujuan simpanan peribadi.
“Setakat hari ini, saya dan Alyssa sudah sepakat untuk memberi kehidupan yang tertutup dan privasi buat calon anak kami.
“Saya sendiri sejak kecil telah terdedah dengan dunia glamor jadi saya tahu rasanya bagaimana menjadi tumpuan,” ujarnya lagi.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd. Haikal Isa)










































