Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil tindakan segera susulan dakwaan berhubung isu seorang wanita mendakwa mengalami komplikasi selepas pemasangan alat pencegahan kehamilan (IUCD) di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian pada 19 Disember.
Bagi meneliti perkara ini secara menyeluruh, JKNJ telah menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan yang akan menilai setiap aspek berkaitan prosedur dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Alami komplikasi selepas pasang IUCD

Foto: Kosmo! Online
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, aduan rasmi mengenai insiden ini telah diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 23 Disember 2025.
“Hasil siasatan mendapati pesakit telah menjalani prosedur pemasangan IUCD oleh seorang Pegawai Perubatan pada 19 Disember 2025 di Klinik Kesihatan Pekan Nanas.
“Susulan daripada prosedur tersebut, pesakit telah dirujuk ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan dan pemantauan lanjut selepas mengalami komplikasi,” katanya hari ini.
Sementara itu, Mokhtar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa semua perkhidmatan kesihatan perlu dijalankan mengikut standard dan garis panduan yang ditetapkan.
“KKM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan atau amalan yang menjejaskan keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan,” ujarnya.

Foto: Facebook Damia Asyiqin

Foto: Facebook Damia Asyiqin
Terdahulu, Nurul Damia Asyiqin Ayub, 27, dilaporkan terpaksa menanggung kesakitan selepas mendakwa berlaku kesilapan semasa pemasangan IUCD oleh pasukan perubatan.
“Sebenarnya saya baru habis tempoh berpantang selepas bersalin anak ketiga, namun bercadang untuk memasang IUCD bagi menjarakkan kehamilan atas saranan doktor berbanding penggunaan pil.
“Doktor memaklum saya tidak sesuai mengambil pil bagi tujuan tersebut tetapi lebih baik dengan kaedah pemasangan IUCD kerana jika pengunaan pil, susu badan saya akan kering.
“Semasa proses memasang IUCD, saya terdengar perbualan antara doktor perubatan dan jururawat bertugas, mereka berkata berlaku kesilapan sebab sepatutnya IUCD dipasang hanya antara lapan hingga sembilan sentimeter (cm) namun mereka telah pasang IUCD sepanjang 11cm,” katanya berdasarkan laporan Kosmo! Online.

Foto: Facebook Damia Asyiqin
Imbasan X-ray dan pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan berlaku kesilapan semasa pemasangan termasuk kerosakan pada apendiks, usus besar dan kecil serta kebocoran rahim.
Artikel lanjut: Jarak Anak Dekat-Dekat, Wanita Hamil Dakwa Telinga Dipulas Doktor Di Klinik Kesihatan

Foto: Facebook Damia Asyiqin
Akibatnya, dia tidak boleh bersalin normal pada masa hadapan dan memerlukan pembedahan untuk kelahiran bayi.
Difahamkan, Nurul Damia telah membuat laporan polis, aduan melalui SISPAA dan melantik peguam untuk membawa kes kecuaian ini ke mahkamah.
Sumber: Facebook JKNJ







































