Suasana gembira sebuah kenduri perkahwinan bertukar cemas apabila sebuah titi gantung tiba-tiba runtuh, menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada Khamis.
Titi gantung runtuh di Kuala Krai
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian sekitar jam 2 petang itu mengakibatkan seorang lelaki patah kaki selepas terhempas ke atas batu, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala.
Tiga lagi individu mengalami luka ringan dan sesak nafas.

Foto: Sinar Harian
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu pengantin wanita di atas titi gantung itu.
“Saya dimaklumkan semasa kejadian lebih 50 orang menggunakan laluan titi itu dalam masa yang sama. Rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh ingin pulang manakala tetamu daripada pengantin wanita pula baru sampai ke kenduri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Foto: Sinar Harian
Mohd Zaki menambah, sebaik dimaklumkan, empat ambulans dikerahkan ke lokasi, dua dari Hospital Sultan Ismail Petra dan selebihnya daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai.
Pemeriksaan mendapati tali pengikat titi gantung di dalam simen sudah uzur dan memerlukan penggantian.
Artikel lain: Demi Keselamatan, Kedai Makan Sebelah Tanah Runtuh Di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highland Dinasihati Tutup

Foto: Sinar Harian (Mohd Zaki bersama pasangan pengantin)
Kesemua mangsa dibawa ke hospital dan sehingga Jumaat, hanya lelaki yang patah kaki masih ditahan untuk rawatan manakala yang lain telah dibenarkan pulang.
“Saya dimaklumkan kanak-kanak yang mengalami cedera di kepala telah menerima beberapa jahitan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ADUN Manek Urai, Fauzi Abdullah hadir ke lokasi kejadian pada petang semalam dan titi gantung yang runtuh itu akan dibaik pulih segera.

Foto: Sinar Harian
Titi gantung tersebut merupakan laluan utama bagi penduduk di lima buah rumah dan hanya sesuai untuk motosikal dan pejalan kaki. Laluan darat lain yang lebih jauh hanya boleh digunakan oleh motosikal.
“Apabila titi gantung ini runtuh, hasil pemeriksaan yang dilakukan semalam mendapati tali pengikat titi gantung di dalam simen sudah uzur dan perlu diganti baharu.
“InsyaALLAH pada Ahad ini pihak kami akan segera mengangkat masalah ini kepada pihak terlibat bagi mendapatkan peruntukan segera untuk baik pulih,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)







































