Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa Datin Seri Pamela Ling Yueh tidak pernah disahkan sebagai suspek dalam siasatan mereka. Kenyataan itu dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, menurut Azam, Pamela hanya dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dan bukan untuk tujuan penahanan.

Foto: alhijrah
“Kita bukan panggil dia (ke Ibu Pejabat SPRM) untuk menahan dia. Kita tidak pernah cakap bahawa dia adalah suspek dalam siasatan ini,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Pamela untuk mencabar penahanan dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh SPRM dan Jabatan Imigresen. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Amarjeet Singh selepas mendengar hujahan pada 19 Mei lalu.
Mengulas perkara tersebut, Azam berkata SPRM menyerahkan sepenuhnya isu itu kepada mahkamah.
“Saya tidak berhasrat untuk membuat sebarang komen kerana ia boleh mengundang prejudis,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kehilangan Pamela berlaku di luar bidang kuasa SPRM dan kini disiasat sepenuhnya oleh pihak polis.
“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis,” tegasnya.
SPRM sebelum ini mendedahkan bahawa siasatan terhadap Pamela dan suaminya bermula pada Mei tahun lalu, membabitkan kes berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Kertas siasatan dibuka secara rasmi pada 28 Mei 2024, dan suami Pamela telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Bagi melengkapkan siasatan, Pamela juga dipanggil tetapi dilaporkan gagal memberikan kerjasama.
Sehubungan itu, waran tangkap terhadapnya diperoleh daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 Disember 2024 dan satu operasi bersama SPRM dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura kemudian dilancarkan bagi membawa Pamela pulang ke Malaysia secara sah.

Foto: Media Sosial
Pamela kemudiannya ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9 Januari 2025, di mana SPRM memperoleh perintah reman selama tiga hari. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin, dan diminta hadir semula ke SPRM pada 9 April untuk menyambung rakaman percakapan.
Walau bagaimanapun, beliau gagal hadir seperti diarahkan, dan pada hari yang sama, peguamnya membuat laporan polis memaklumkan bahawa Pamela telah hilang.
Sumber: Harian Metro (Mohd Iskandar Ibrahim dan Ilah Hafiz Aziz)
