Dua pelajar perempuan berasal dari Korea Selatan mencuri tumpuan warganet apabila memperoleh 10A bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk Bahasa Melayu.
Menurut laporan The Borneo Post, Kim Na Eun, 17, memperoleh A+ bagi kesemua 10 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Pengetahuan Alkitab.
Bapanya Kim Taeho berkata, pada mulanya mereka sekeluarga sukar mempercayai ketika hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba, Miri pada Selasa lalu untuk mengambil keputusan peperiksaan Na Eun.
“Saya menangis sebaik sahaja dia memberitahu keputusan peperiksaannya. Kami langsung tidak menyangka dia akan memperoleh A+ bagi semua subjek, termasuk Bahasa Melayu kerana dia berusaha keras untuk mempelajari bahasa itu semasa di sekolah rendah,” katanya.
Difahamkan, keluarga tersebut berpindah dari Korea Selatan ke Miri, Sarawak pada 2013 ketika Na Eun berusia lima tahun.
Na Eun memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan St Columba, sebelum menyambung peringkat menengah di SMK St Columba.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Park So Hyun turut meraih keputusan cemerlang iaitu A+ untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Kimia.
Manakala skor A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Sejarah, Prinsip Perakauan, Fizik dan Biologi.
Menurut pelajar Sekolah Methodist Wesley, Kuala Lumpur itu, dia mengambil keputusan untuk membuka saluran YouTube sendiri selepas menerima sokongan luar biasa sebaik kisah kejayaannya tular di media sosial.
“Disebabkan ramai yang meminta tip belajar dan nasihat, saya telah membuat keputusan untuk membuka satu saluran YouTube,” katanya.
Tambahnya, kandungan di saluran berkenaan bukan sahaja memfokuskan kepada akademik, malah turut memaparkan kehidupan hariannya sebagai pelajar selain budaya Korea.
Sumber: The Borneo Post (Jenifer Laeng), Instagram shyunprk





































