Pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu semalam disahkan mempunyai rekod rawatan psikiatri dan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak Januari tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata, suspek pernah beberapa kali mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan perkara itu telah disahkan menerusi semakan rekod perubatan.
Menurut beliau, kemalangan berlaku pada jam kira-kira 1.35 petang itu melibatkan antara Honda Jazz dan Perodua Viva yang dipandu Syakirah Hanan Mazli yang maut di lokasi kejadian.
“Pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka kecil di beberapa bahagian badan dan kini masih menerima rawatan di HSNZ. Suspek tidak meninggal dunia seperti yang didakwa dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azli turut menafikan dakwaan tular bahawa Honda Jazz dipandu suspek adalah kenderaan curi, sebaliknya milik adik suspek sendiri, hasil semalan melalui rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa sebelum kejadian kemalangan, suspek dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang diparkir di kawasan Stadium Darul Iman dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200.
“Suspek kemudiannya masuk semula ke dalam Honda Jazz sebelum memecut ke jalan raya dan berlaku kemalangan di lokasi kejadian, sebagaimana yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menghentikan sebarang bentuk spekulasi dan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut khususnya di media sosial.
“Seruan ini dibuat bagi menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa serta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional,” katanya lagi.
Suspek akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Syakirah Hanan yang juga penuntut Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meninggal dunia apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz.
Sumber: Faceb0ok Polis Daerah Kuala Terengganu







































