Sembilan masjid di Terengganu diwartakan sebagai lokasi rasmi pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak di luar penjara, berkuat kuasa sejak 20 November tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penetapan lokasi berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta melalui mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Di daerah Kuala Terengganu, dua masjid telah dipilih iaitu Masjid Abidin dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah manakala satu masjid masing-masing di daerah lain,” katanya.
Sembilan Masjid Di Terengganu Diwartakan Lokasi Sebatan – EXCO
Beliau berkata, lokasi-lokasi tersebut dipilih bagi melancarkan pengurusan serta memastikan proses hukuman dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan.
“Lokasi itu dipilih bagi memudahkan pengurusan serta memastikan proses pelaksanaan hukuman mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman.
Artikel lain: Kenaikan Tarif Air Bukti Kegagalan Kerajaan Terengganu – Pemuda Amanah
Antara masjid yang diwartakan ialah Masjid Wakaf Tembesu (Kuala Nerus), Masjid Sultan Ahmad (Kemaman), Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah (Dungun), Masjid Nasiruddin Shah (Besut), Masjid Ajil (Hulu Terengganu), Masjid Kelulut (Marang) dan Masjid Bandar Permaisuri (Setiu).
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
Sumber: BERNAMA










































