Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus mencatat kejayaan dalam pembangunan keusahawanan apabila berjaya membimbing 20,196 usahawan melalui 321 program sepanjang 2025, menjana RM22.4 juta hasil jualan serta mewujudkan 710 peluang pekerjaan baharu.
INSKEN perkukuh hubungan strategik bersama media
INSKEN menerusi satu kenyataan berkata, penganjuran sesi Media Hi-Tea menghimpunkan wakil media cetak, penyiaran dan digital dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik.
Program santai itu membuka ruang interaksi dua hala antara INSKEN dan pengamal media, serta memberi peluang kepada media untuk memahami pendekatan INSKEN sebagai pemudah cara dan penghubung antara usahawan, industri dan ekosistem sokongan keusahawanan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, berkata media merupakan rakan strategik penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan berimpak sampai kepada masyarakat.
“Sesi ini turut membantu media memahami pendekatan INSKEN yang berperanan sebagai pemudah cara serta penghubung antara usahawan, industri dan ekosistem sokongan keusahawanan negara,” katanya pada Selasa.
Sesi Media Hi-Tea berkenaan diadakan di Chef Kecik Boulangerie Tuah 1895, Bukit Bintang, sebuah restoran milik alumni program INSKEN yang juga penerima Anugerah Usahawan MADANI 2025 (AUMI) bagi kategori Anugerah Harapan.
Artikel lain: Misi Perdagangan KUSKOP Ke Jepun Dijangka Jana Potensi Pelaburan, Jualan RM51 Juta
Pemilihan lokasi tersebut mencerminkan kisah kejayaan alumni yang berdaya tahan dan wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan lain.
Sementara itu menurut INSKEN, bagi tahun 2026, mereka memberi fokus kepada penskalaan usahawan mikro ke perusahaan kecil yang lebih mampan, penciptaan peluang pekerjaan baharu bergaji minimum, serta pemerkasaan sektor ketiga termasuk keusahawanan sosial dan perusahaan berasaskan komuniti.
“Dua program baharu iaitu Bangkit dan INSKEN Masterclass turut diperkenalkan bagi memperluas impak program sedia ada,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam masa yang sama, skop program keusahawanan yang ditawarkan merangkumi Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV), TVET, Akses Pasaran dan Keusahawanan Sosial, memberikan peluang kepada usahawan daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keberdayaan perniagaan mereka.
Dengan pencapaian memberangsangkan dan strategi yang jelas, INSKEN terus menegaskan perananannya dalam memacu pembangunan keusahawanan negara secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi.







































