Polis kini sedang memburu sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Menurut beliau, insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila sekumpulan lelaki itu merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori.
“Mereka kemudian menceroboh masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan. Suspek turut melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis itu.
“Susulan itu, kita kini giat mengesan semua individu yang terlibat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun yang sama kerana merusuh menggunakan senjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)





































