Meskipun kehidupannya diuji dengan penyakit jantung berlubang dan saluran pernafasan bocor serta terbalik, seorang remaja yang dikenali sebagai Ahmad Awaluddin Idris, 18, sanggup bekerja menjual nasi lemak pada setiap hari demi kelangsungan hidup.
Menurut laporan Harian Metro, Ahmad telah membantu ibu saudaranya, Surani Ariffin, 57, dan kakak sepupunya berniaga sejak usianya 12 tahun lagi.
Difahamkan, ketika berusia dua tahun, Ahmad telah diduga dengan kehilangan ayah kandungannya kemudian ibu kandungannya pula telah meninggal dunia sewaktu dia berusia 10 tahun akibat paru-paru berair.
Susulan dua kehilangan insan tersayang itu, Surani atau lebih mesra disapa Mak Yang telah terbuka hati untuk menjaga anak saudaranya itu selepas hidupnya menjadi sebatang kara.
“Ketika ini Mak Yang sudah tidak mampu berkerja seperti dahulu selepas dia terbabit kemalangan menyebabkan kakinya patah tahun lalu dan masih belum sembuh sepenuhnya.
“Demi kelangsungan hidup kami, saya ambil alih kerja memasak setiap pagi kerana saya juga masih perlu melakukan pemeriksaan berkala antara dua hingga enam bulan sekali di Hospital Pulau Pinang.
“Sebelum ini kami berniaga di hadapan rumah. Namun sejak beberapa hari lalu, saya mula berniaga nasi lemak bungkus di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah,” katanya.
Ahmad yang telah mendapat keputusan lulus semua subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini memilih untuk terus berniaga berbanding menyambung pelajaran kerana desakan hidup.
Jelasnya, dia akan bangun seawal jam 3 pagi untuk memasak 150 bungkus nasi lemak yang dijual pada harga RM1.20 pada jam 7 pagi.
“Saya mahu meneruskan usaha Mak Yang. Lagipun saya memang minat berniaga.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada Mak Yang yang sanggup menjaga saya. Oleh itu saya mahu membalas jasanya yang sanggup menjaga saya selama ini,” ujarnya lagi.
Kepada individu yang mahu membantu Ahmad, boleh hubungi di talian 017-5514851.
Sumber: Harian Metro (Noor Hidayah Tanzizi)