Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tular selepas menumbuk guru sekolahnya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kajang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.
Remaja sengaja mencederakan guru lelaki
Menurut laporan Harian Metro, pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar peralihan tingkatan satu itu didakwa dengan sengaja mencederakan seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di Kajang pada jam 4.48 petang, Isnin lalu.

Foto: Harian Metro
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan serius dan mendapat perhatian umum.
Artikel lain: Pelajar Tingkatan Dua Direman! Berani Tumbuk, Ugut Guru Selepas Ditegur ‘Ponteng’ Kelas
Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Priyalatha, merayu agar jumlah jaminan direndahkan memandangkan anak guamnya adalah pesalah juvana dan masih bersekolah.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Sepanjang prosiding, media tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah memandangkan tertuduh adalah bawah umur. Ibu bapa remaja terbabit tuut hadir memberi sokongan.

Foto: Sinar Harian
Ibu tertuduh yang berusia 40-an berkata anaknya menyesal dengan perbuatan tersebut dan telah memohon maaf kepada guru berkenaan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pelajar lelaki itu ditahan selepas seorang guru membuat laporan polis mendakwa diugut dan ditumbuk dalam kejadian yang dirakam video berdurasi 38 saat dan tular di media sosial.
Sumber: Harian Metro (Nazri Abu Bakar)
