Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan hari ini meraikan kejayaan 24 pelajar dari 13 sekolah yang mewakili Malaysia dalam World Robot Games (WRG) 2025 di Parlimen.
Ramanan raikan kejayaan pelajar Malaysia
Kejayaan itu menyaksikan kontinjen negara meraih lebih 80 pingat dalam pertandingan robotik dan STEM bertaraf antarabangsa berkenaan, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada global.
WRG yang merupakan antara platform robotik dan STEM terbesar di dunia menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari 10 negara antaranya Taiwan, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura dan Malaysia.
Menurut Ramanan, setiap wakil pelajar Malaysia berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat, sekali gus mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding penyertaan pada tahun sebelumnya.
“Saya berasa amat bangga dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar kita yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, antara peserta yang mencuri perhatian ialah K. Sachein, 13, yang sudah terlibat dalam pembinaan, pengekodan dan proses ‘debugging’ robot sejak usia lima tahun, hasil latihan berterusan selama lapan tahun.
Artikel lain: Kerajaan Tumpu Usaha Tarik Pekerja Malaysia Di Luar Negara Pulang, Tawar Gaji Setanding
Tambah beliau, pencapaian itu mencerminkan tahap komitmen tinggi para pelajar selain menunjukkan kekuatan pendidikan STEM di negara ini yang semakin berkembang, sekali gus membuktikan pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila diberi pendedahan dan latihan secara konsisten.







































