Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluahkan rasa terharu apabila mengetahui rakyat Indonesia disenaraikan sebagai rakyat paling bahagia di dunia berdasarkan dapatan kajian Global Flourishing Study (GFS).
Rakyat Indonesia paling bahagia di dunia!
Menurut laporan detikNews, beliau berkata, hasil kajian itu amat menyentuh perasaannya memandangkan realiti kehidupan sebahagian besar rakyat Indonesia yang masih hidup dalam keadaan sederhana dan belum mencapai tahap kesejahteraan sepenuhnya.
“Daripada hampir 200 negara yang dikaji, negara yang rakyatnya apabila ditanya menyatakan diri mereka bahagia, tempat pertama di dunia sekarang ialah rakyat Indonesia,” katanya.

Foto arkib: Istimewa
Prabowo berkata demikian ketika berucap pada perayaan Puncak Perayaan Krismas Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Tennis Indoor, Gelora Bung Karno (GBK), Senayan, Jakarta pada Isnin.
Kajian GFS berkenaan adalah kerjsama Harvard University, Baylor University serta firma penyelidikan global, Gallup melibatkan hampir 200 negara di seluruh dunia.
Artikel lain: Lumpur Banjir Di Aceh Ada Nilai, Prabowo Dedah Pihak Swasta Berminat
Menurut Prabowo, dapatan tersebut membuatkan dirinya terharu kerana beliau menyedari masih ramai rakyat yang berdepan cabaran ekonomi dan menjalani kehidupan yang serba kekurangan.
“Ini mengharukan bagi saya kerana saya faham sebahagian besar rakyat kita sebenarnya masih hidup dalam keadaan yang sangat sederhana dan belum sejahtera,” ujarnya.

Foto: Rifka Hayati/Getty Images
Namun di sebalik segala kekurangan itu, Prabowo berkata sikap rakyat Indonesia yang tetap mengakui diri mereka bahagia adalah sesuatu yang sukar difahami oleh negara lain, namun amat menyentuh perasaannya sebagai pemimpin.
“Apabila ditanya, mereka masih mengatakan diri mereka bahagia. Ini membingungkan bangsa-bangsa lain dan sangat mengharukan bagi saya,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Prabowo menegaskan komitmennya untuk terus bekerja keras dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat bersama barisan kabinetnya yang disifatkan sebagai warganegara terbaik bangsa.
“Sudah setahun kami menerima amanah daripada rakyat Indonesia. Saya bersama para pembantu saya akan terus bekerja keras demi memastikan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera,” katanya.
Sumber: detikNews







































