Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui program Bantuan Lestari Siswa MADANI, inisiatif yang menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar kurang berkemampuan dan meringankan beban kewangan mereka sepanjang pengajian.
Pengerusinya Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyantuni masyarakat sepanjang bulan Ramadan ini.
“Antaranya ialah Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI.
“Sebagai sebuah agensi yang prihatin, PTPTN komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR kepada para pelajar terutamanya dalam aspek pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di Kuala Lumpur, pada Isnin. Teks ucapan Norliza dibacakan oleh Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid.

Norliza (tengah) bergambar bersama penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI
Sementera itu, Norliza berkata, media memainkan peranan penting dalam membetulkan persepsi serta mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN dan peluang perancangan kewangan melalui Simpan SSPN.
“Melalui laporan yang tepat, seimbang dan beretika, media membantu dalam memastikan setiap dasar dan usaha penambahbaikan PTPTN dapat difahami dengan jelas oleh pelanggan sama ada pendeposit Simpan SSPN atau peminjam PTPTN, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujar Norliza.
PTPTN menerusi satu kenyataan berkata, bantuan itu membabitkan sumbangan sebanyak RM36,000 kepada 72 pelajar asnaf dari kedua-dua institusi tersebut, dengan setiap pelajar menerima RM500 yang dikredit terus ke akaun bank mereka.
“Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian di IPT.
“PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara terus mendukung misi untuk memperkasakan amalan penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjamam sekali gus memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian.
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” kata PTPTN.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid, pengurusan PTPTN dan pengamal media pelbagai agensi.







































