Polis Diraja Malaysia (Polis Diraja Malaysia) menahan dua individu bagi membantu siasatan susulan penularan rakaman video memaparkan seorang individu memakai tudung sambil minum minuman keras di sebuah salon.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung video tular berkenaan dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) JSJ Bukit Aman.
Polis Tahan Dua Individu
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan, jika disabitkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih lima tahun.
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berumur 22 dan 24 tahun pada jam lebih kurang 4.30 petang di Subang Jaya hari ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati individu yang memakai tudung dalam rakaman adalah seorang lelaki,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kumar menegaskan PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menghina atau mempermainkan sensitiviti agama sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Orang ramai turut digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama berkaitan isu 3R (Religion, Race, Royalty),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan satu video tular memaparkan seorang pemuda berhijab menikmati minuman keras di sebuah salon sehingga mencetuskan pelbagai reaksi warganet.
Artikel lain: Konon Berhijab, Tapi Teguk Alkohol.. Salun Rambut Didakwa Perlekeh Agama Islam!
Video berdurasi 28 saat itu dikesan mula tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang berkongsi rakaman tangkap layar diambil daripada sebuah akaun media sosial lain.
Menerusi video berkenaan, kedengaran rakan-rakannya mempersendakan tindakan pemuda itu sambil memanggilnya ‘amoi’ dan bergelak ketawa.
Sumber: FB Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police )












































