Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar.
Menurut Anwar, tindakan penahanan terhadap kedua-dua individu berkenaan merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta mencerminkan penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.
PM Anwar Gesa Presiden Venezuela & Isteri Dibebaskan!
Tegas beliau, walau apa pun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memegang jawatan melalui campur tangan luar menetapkan satu duluan yang berbahaya.
Katanya, tindakan sedemikian menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara serta melemahkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa.
“Adalah menjadi hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Anwar, sejarah telah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan secara mendadak akibat penggunaan kekerasan luar hanya akan membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
Apatah lagi, ujarnya, dalam konteks sebuah negara yang sedia bergelut dengan kesukaran ekonomi berpanjangan serta tekanan sosial yang mendalam.
Katanya, Malaysia sentiasa menganggap penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai asas utama kepada hubungan aman antara negara-negara.
“Pendekatan secara konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan yang paling berwibawa ke arah suatu penyelesaian yang melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa kemudaratan lanjut,” katanya.
Artikel lain: Wisma Putra Pantau Situasi Caracas, Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Setakat Ini
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Maduro dan Flores telah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk narko-keganasan membabitkan perdagangan dadah haram.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai proses penghantaran kedua-dua individu itu ke Amerika Syarikat atau tarikh perbicaraan masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, pihak berkuasa AS mengesahkan Maduro dan Flores ditahan susulan serangan berskala besar ke atas Venezuela pada awal pagi tadi.
Sumber: FB Anwar Ibrahim









































