Seorang petinju muay thai berusia 20 tahun maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang berjoging di KM 4, Jalan Gua Musang-Sungai Terah, Gua Musang pada Rabu, lapor Kosmo! Online.
Petinju Muay Thai maut dirempuh
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.05 petang apabila mangsa, Mohamad Nabil Mohamad dilaporkan tercampak sejauh kira-kira 40 meter akibat pelanggaran itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Foto: Polis
Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 6.30 petang.
Hasil siasatan awal mendapati trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bersama dua pekerja asing menghala ke Gua Musang.

Foto: Polis
Setibanya di lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh kedua-dua mangsa.
“Rakan mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan kaki. Pemandu serta dua pekerja yang berada dalam trak pikap turut cedera di badan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel lain: Lelaki Cedera Hampir Disamun Ketika Joging Awal Pagi
Sementara itu, akaun Facebook Kelab Muaythai Kuda Merah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Nabil, atau lebih dikenali sebagai Pokbil yang meninggal dunia akibat insiden tersebut.

Facebook: Facebook Kelab Muaythai Kuda Merah
Difahamkan, arwah dijadualkan untuk bertanding di Kejohanan Kuda Merah minggu depan, namun takdir telah memisahkan lebih awal.
“Salam takziah buat keluarga dan al-Fatihah dibaca buat Ddri Kelab Anak Tiong Gua Musang Kelantan yang telah menemui Ilahi akibat kemalangan. Dia sepatutnya akan berlawan di Kejohanan Kuda Merah minggu depan,” tulis akaun itu menerusi satu hantaran.

Foto: Media sosial
Sumber: Kosmo! Online (Aimuni Tuan Lah), Facebook Kelab Muaythai Kuda Merah







































