AirAsia menegaskan syarikat kekal optimis dan tidak akan membatalkan sebarang penerbangan walaupun kenaikan harga minyak global memberi tekanan kepada kos operasi industri penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menyorot bahawa kenaikan tambang tidak dapat dielakkan, namun kadar peningkatannya dijangka lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain.
“Walaupun berdepan cabaran kos bahan api yang meningkat, permintaan terhadap perjalanan udara ketika ini masih kukuh.
“Permintaan masih tinggi, malah lebih baik berbanding sebelum ini kerana ramai memilih untuk melancong dalam rantau ini berbanding ke Eropah atau Amerika Syarikat,” ujar beliau, hari ini.
Selain itu, Capital A memaklumkan pelantikan Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April 2026 bagi memperkukuh barisan kepimpinan syarikat dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
Susulan pelupusan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X Berhad pada Januari 2026, Capital A kini memberi fokus kepada pengembangan perniagaan teras lain termasuk Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform mobiliti dan pelancongan), AirAsia Next (pengurusan jenama dan harta intelek) dan Santan (makanan dan minuman).
Tony menegaskan pengurangan kapasiti penerbangan oleh syarikat dari Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways turut menyumbang kepada peningkatan permintaan, dianggarkan membabitkan 15 hingga 20 peratus tempat duduk penerbangan.
“Situasi ini menyebabkan penerbangan menjadi penuh. Saya sendiri terpaksa menunggu penumpang tidak hadir untuk mendapatkan tempat duduk ketika pulang dari Vietnam,” jelas beliau.
Beliau menyorot bahawa keuntungan Capital A tidak terjejas walaupun harga minyak meningkat dua kali ganda, dengan kesan kenaikan harga hanya minimum.
“Saya tidak pernah kata tiada impak, tetapi impaknya kecil. Kadang kala harga makanan akan meningkat kerana kos makanan akan naik,” tambahnya.
Selain itu, beberapa segmen perniagaan menerima kesan tidak langsung bergantung kepada permintaan semasa. Operasi logistik pula membuka peluang baharu kerana kapasiti penerbangan lain berkurang dan kos dipindahkan kepada pelanggan mengikut kontrak.
Artikel lain: “Takut Jika Berlaku Apa-Apa, Aurat Tak Tertutup” – Pramugari AirAsia Syukur Dibenarkan Berhijab
Tony menegaskan keutamaan syarikat adalah memastikan tambang kekal serendah mungkin sambil mengurus peningkatan kos.
“Kami perlu menaikkan tambang, tiada pilihan lain. Kami juga perlu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan sumber pendapatan lain.
“Usaha mengekang kesan kenaikan harga tidak boleh dipikul oleh syarikat penerbangan sahaja. Kami perlu mendapatkan kerjasama daripada semua pihak termasuk kawalan trafik udara, syarikat minyak dan pihak lain dalam industri penerbangan,” jelas beliau.
AirAsia turut merancang menggunakan tempoh permintaan sedikit rendah selepas Hari Raya untuk menyelenggara pesawat bagi meningkatkan prestasi ketepatan masa.
“Kami tidak akan membatalkan penerbangan dan kekal yakin akan keluar daripada situasi ini dengan lebih kukuh,” tegasnya.
Sumber: Harian Metro (Hafiz Ithnin)









































