Seorang lelaki, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang direman selama empat hari semalam.
Suspek direman empat hari
Memetik laporan Astro Awani, Majistret Siti Zubaidah Mahat mengeluarkan perintah reman sehingga Khamis terhadap suspek berusia 20-an selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret untuk proses reman, hari ini.
Suspek, yang hadir memakai baju-T berkolar putih dan seluar pendek kelabu, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey, memaklumkan bahawa seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar oleh pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat.
Beliau menjelaskan bahawa insiden kira-kira pukul 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung sebuah kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel lain: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Khayal Bahan Terlarang
Siasatan awal mendapati kereta Honda City yang dipandu suspek bergerak ke arah Bandar Klang dalam kelajuan tinggi dan berbahaya, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia.
Rakaman video kemalangan yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta memandu laju, memotong garisan berkembar, dan merempuh motosikal sehingga penunggangnya terpelanting ke atas kenderaan lain.
Sumber: Astro Awani






































