Polis Daerah Johor Bahru Utara telah mengesan satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal ditampar oleh seorang lelaki lain di sebuah stesen minyak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 januari lalu sekitar jam 6.50 petang di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Perling, Johor Bahru.
Jelasnya, individu yang terlibat telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di daerah tersebut dan sedang bercuti semasa kejadian berlaku.
Penunggang motosikal kena tampar
“Setakat ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut. Walau bagaimanapun, pihak polis telah mengenal pasti mangsa yang terlibat dan sedang berusaha mengesan mangsa tersebut bagi membantu siasatan.
“Pihak polis memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan.
Artikel lain: Tiada Satu Pun Ladang Ternakan Khinzir Di Terengganu Walaupun Ada Orang Makan – Dr Azman Ibrahim

Azrol Anuar Nor
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi di atas isu ini dan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat amat dialu-alukan. pihak polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.
Sumber: Facebook @Polis Daerah Johor Bahru Utara







































