Seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika melakukan rondaan di kawasan Pasar Batu 8 di Sandakan pada petang Jumaat.
Penguat kuasa cedera dikasari
Memetik laporan daripada Sinar Harian, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama rakan setugas memantau aktiviti perniagaan sebelum menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka.
Ketua Polis Daerah Sandakan, George Abd Rakman menyatakan teguran itu dipercayai mencetuskan pertengkaran sebelum mangsa diserang beberapa individu tidak dikenali.
“Dalam kejadian itu, mangsa telah diserang beberapa individu tidak dikenali sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan lebam di bahagian badan.
“Polis telah memulakan siasatan dan telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan setakat ini, satu tangkapan telah dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Penguat kuasa dihalang jalankan tugas
Menurut beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, menyebabkan kecederaan serta merusuh.
“Selain itu, turut disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Fairuz Renddan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan aktiviti penjualan rokok haram di kawasan pihak berkuasa tempatan.
“Apa lagi jika melibatkan kekerasan dan mempamerkan lagak samseng di kawasan tersebut.
“Kita akan banteras, kita akan usir semua dan kita tidak akan biar golongan samseng sebegini untuk jejak kaki, dan menjual rokok mereka yang sudah terang-terang dilakukan secara haram di semua kawasan PBT, bukan cuma di Sandakan, tetapi seluruh negeri.
“Insiden malang yang berlaku di Sandakan itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan mulai saat ini, saya dan kementerian mulakan tindakan lebih keras supaya samseng-samseng ini tiada ruang menjaja rokok haram mereka,” katanya.
Artikel lain: Minta ‘Duit Kopi’, MBSP Siasat Dakwaan Penguatkuasa Terlibat Salah Laku
Sebelum ini, tular satu video di TikTok yang memaparkan seorang penguat kuasa dilaporkan cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki dipercayai berlagak samseng.
Kejadian itu dikatakan berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok agar tidak menjalankan aktiviti menjual rokok di kawasan pasar berkenaan.








































