Polis mengesahkan suami isteri termasuk pengasas program motivasi rumah tangga, eHati dipercayai telah melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan dijalankan di mahkamah.
Pengasas eHati larikan diri sebelum pertuduhan
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menyatakan belum ada tangkapan dibuat memandangkan pasangan tersebut dipercayai tiada di Malaysia ketika ini.
“Masih lagi tidak ada tangkapan dibuat kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) percayai mereka sudah melarikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dijalankan.
“Hasil semakan awal PDRM, (suspek ke luar negara) melalui laluan sah kerana mereka bergerak lebih awal sebelum waran dikeluarkan.
“Polis percaya pada 13 Oktober (mereka melarikan diri ke luar negara) yang mana pertuduhan dilaksanakan pada 14 Oktober.
“(Suspek yang melarikan diri) Ya, dua penama yang dikeluarkan waran tangkap itu,” katanya.
Rakan strategik bantu kesan pengasas eHati
Shazeli menambah bahawa pihak polis sudah mengenal pasti negara yang dituju pasangan tersebut, namun maklumat itu tidak didedahkan.
“Sekarang, PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara terbabit untuk membantu mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka.
“Biarlah rahsia (negara mana) ..beri peluang kepada PDRM untuk melaksanakan tugasan dan siasatan, dikhuatiri sekiranya diberitahu maka akan lebih menyukarkan proses pencarian.
“Di kawasan Asia Tenggara,” ujarnya.
Kedua-dua gagal hadir sewaktu pertuduhan
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua individu dikehendaki polis selepas gagal hadir sewaktu pertuduhan hendak dilaksanakan.
Polis turut mendedahkan bahawa seramai 95 individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 pada September tahun lalu.
Artikel lain: Pengasas EHati Ditahan Selepas Tampil Bagi Kenyataan Di Balai Polis -Peguam
Dalam siasatan, polis juga mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night, yang melibatkan empat fasilitator program tersebut.
Sumber: Buletin TV3 (Ruwaidah Md Zain)







































