Seorang jemaah Masjid Jamek Kampung Likas, Kota Kinabalu dilaporkan meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat fardu Isyak di masjid itu pada malam Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu perkongsian rasmi di laman Facebook Masjid Jamek Kampung Likas semalam yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menurut kenyataan tersebut, Allahyarham merupakan antara jemaah tetap yang rutin hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.
Kehadirannya yang konsisten menjadikan Allahyarham dikenali dalam kalangan komuniti setempat.
“Pihak Masjid Jamek Kampung Likas mengucapkan salam takziah kepada pihak keluarga atas pemergian ayahanda mereka.
“Arwah merupakan salah seorang jemaah yang rutin hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu,” menurut hantaran berkenaan.
Tambah pihak masjid, pemergian Allahyarham selepas menunaikan solat Isyak pada malam Jumaat dan dalam bulan Ramadan disifatkan sebagai satu husnul khatimah yang dicemburui ramai.
Pihak pengurusan masjid turut mendoakan agar segala amal ibadah dan kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga Allah menerima segala amal kebaikannya. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu lagi.
Difahamkan, berita pemergian Allahyarham turut mengundang rasa sebak dan penghormatan dalam kalangan jemaah yang mengenali sebagai individu yang istiqamah memakmurkan rumah Allah.
Sumber: Facebook Masjid Jamek Kg Likas








































