Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Pengadang Baru, di sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 6.40 pagi, mangsa, Noor Hazimi Noor Hashim, 15, dari Kampung Makam, Kepong, meninggal dunia di lokasi kejadian di Kampung Belukar Sukai, selepas mengisi minyak di stesen minyak berdekatan.
Pelajar Tingkatan 3 Maut Dirempuh Kereta
Menurut laporan, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil adiknya, Noor Hasmiea, yang belajar di tingkatan dua di sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mangsa gagal mengelak selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki keluar secara tiba-tiba dari persimpangan jalan,” katanya.
Difahamkan, Noor Hazimi tercampak ke atas kereta berkenaan, manakala motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya terbakar.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas, bersama Pengarah Pendidikan negeri, Kamsah@Kamal Mohamed, meluangkan kira-kira 30 minit menyantuni bapa mangsa, Noor Hisham Putih, 55, sebagai tanda prihatin terhadap kejadian tragik itu.
Sumber: Harian Metro











































