Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) dilihat memberi kesan positif terhadap kesejahteraan murid serta suasana pembelajaran di sekolah, khususnya dalam menangani isu berpunca daripada penggunaan internet.
Guru sambut baik mengenai ONSA 2025
Seorang pendidik, Azemi Musa berkata, pengaruh internet dan media sosial terhadap tingkah laku murid kini tidak boleh dinafikan kerana apa yang berlaku dalam talian sering memberi kesan langsung kepada emosi dan sahsiah mereka di sekolah.
“Pengalaman di media sosial, sama ada positif atau negatif, biasanya terbawa-bawa ke sekolah. Ia boleh mempengaruhi cara mereka berinteraksi, keyakinan diri serta tumpuan dalam pembelajaran,” katanya ketika ditemu bual Borak Daily.

Foto: Azemi (kanan) bersama rakan pendidik yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Ampang Tinggi, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.
Menurutnya, terdapat situasi di mana kandungan dalam talian memberi kesan kepada suasana pembelajaran apabila murid terdedah kepada mesej tidak sesuai, kandungan berbahaya atau buli siber yang berlaku di luar waktu dan kawasan sekolah.
“Walaupun ia berlaku di luar sekolah, kesannya tetap dirasai di dalam kelas. Ada murid menjadi murung, pendiam dan kurang fokus, malah hubungan dengan rakan sebaya turut terjejas,” ujarnya.
Azemi berkata, tindakan platform digital yang bertindak lebih pantas menurunkan kandungan berbahaya seperti yang ditekankan melalui pelaksanaan ONSA 2025 mampu membantu mengurangkan tekanan emosi serta isu disiplin dalam kalangan murid.

Foto: Janaan AI
Beliau berpandangan langkah kawal selia oleh pihak berwajib, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) wajar disokong kerana dapat mewujudkan persekitaran media sosial yang lebih selamat untuk murid dan masyarakat, sekali gus membantu mengurangkan kes buli siber.
“Apabila risiko dalam talian dapat dikawal lebih awal, ia bukan sahaja melindungi murid, malah secara tidak langsung menyokong peranan guru dalam memastikan kesejahteraan pelajar,” kata Azemi.

Foto: Azemi bersama murid Sekolah Kebangsaan Ampang Tinggi, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.
Tambahnya lagi, keselamatan dalam talian yang lebih terjamin turut mengukuhkan hubungan antara guru, ibu bapa dan pihak sekolah kerana semua pihak berkongsi matlamat yang sama untuk melindungi pelajar.
“Ibu bapa lebih yakin, guru dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pihak sekolah dapat mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni,” jelasnya.
Azemi turut menyifatkan kewujudan pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia platform digital memberi jaminan kepada warga sekolah bahawa penggunaan media sosial berada dalam ekosistem yang lebih selamat.
“Apabila murid dan guru berasa lebih selamat dalam talian, suasana sekolah juga menjadi lebih positif dan kondusif untuk pembelajaran,” ujarnya.







































