Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor pertanian apabila berjaya mencatatan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata jumlah berkenaan antaranya melibatkan jualan subsektor tanaman sebanyak RM20.9 bilion, ternakan (RM4.7 bilion), akuakultur (RMl bilion) dan perikanan (RM7 juta).
Nilai jualan tertinggi
“Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor pertanian negara apabila berjaya mencatatkan nilai jualan tertinggi berdasarkan statistik terkini dapatan interim Bancian Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan asas sektor pertanian di Johor, tetapi juga hasil daripada perancangan dan kolaborasi strategik, pelaksanaan dasar yang menyeluruh serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan, agensi pelaksana, para pelabur dan keseluruhan pengusaha yang menjadi tulang belakang pembangunan sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengersikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Johor di Bilik Gerakan Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zahari turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM23.4 juta sebagai sokongan bagi memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berimpak tinggi.
Artikel lain: Beri Peluang Kedua! Kerajaan Sasar 200,000 Individu Bebas Bankrup Akhir Tahun Ini
Nilai jualan tertinggi
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang merangka beberapa strategi bagi memastikan pemain sektor pertanian dan keterjaminan makanan tidak terpinggir daripada arus pembangunan pesat di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Zahari berkata beberapa siri bengkel dan sesi libat urus sedang dilaksanakan bagi membincangkan secara menyeluruh langkah-langkah perlindungan dan sokongan kepada pengusaha sektor pertanian supaya mereka kekal relevan dalam pelan pembangunan jangka panjang negeri.
Sebagai langkah awal, katanya Johor sedang memacu beberapa projek berimpak tinggi termasuk pembangunan aktiviti pertanian moden seperti vertical farming antara sebuah syarikat tempatan dengan syarikat dari Singapura.
“Kami sedang mengkaji bagaimana kerajaan boleh melindungi mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan supaya tidak terkeluar daripada pembangunan ini.
“Kami sedang merangka pelan supaya kita dapat bentangkan kepada kerajaan cara bagi menarik pelabur berkaitan keterjaminan makanan termasuk pemberian insentif untuk membolehkan mereka melabur di selatan Johor di bawah kawasan JS-sEz,” katanya.
Sumber: Bernama
