Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak, dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun serta didenda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi, malam ini.
Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Collin Lawrence Sequerah, sekitar jam 9 malam.
Keputusan itu dibuat selepas beliau mendapati bekas Presiden UMNO itu bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kuasa bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, manakala lima tahun penjara bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, semua hukuman itu diarahkan berjalan serentak.
Najib Dihukum Penjara 15 Tahun
Hakim turut memerintahkan supaya hukuman penjara tersebut hanya bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah juga memutuskan, sekiranya gagal membayar denda RM11.38 bilion, Najib perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama 40 tahun.
Sepanjang prosiding, Najib yang berada di kandang tertuduh dilihat tenang ketika hukuman dibacakan, dengan perbicaraan bermula seawal jam 9 pagi.
Artikel lain: Skandal 1MDB: Najib Diarah Bela Diri Atas 21 Pertuduhan Pengubahan Wang Haram
Bagi pertuduhan AMLATFA, Najib didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menerima wang berjumlah RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan dana RM2.05 bilion serta lima pertuduhan menggunakan dana RM22.6 juta.
Manakala bagi empat pertuduhan di bawah Akta SPRM, mahkamah mendapati beliau menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion.
Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Sumber: Buletin TV3










































