Trump Perkenal Duti Baharu 10 Peratus!
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengumumkan beliau akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas negara di seluruh dunia susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan kempen cukai import globalnya.
Keputusan majoriti 6-3 itu menyekat penggunaan instrumen undang-undang yang sebelum ini digunakan Trump bagi melaksanakan agenda ekonomi serta dasar luar pentadbirannya.
Sejurus keputusan diumumkan, Trump mengkritik keras mahkamah tertinggi itu.
Beliau berkata, beliau “malu dengan sesetengah hakim mahkamah itu, benar-benar malu kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan apa yang betul untuk negara kita.”
“Negara asing yang telah mengambil kesempatan ke atas kita selama bertahun-tahun kini berasa gembira. Mereka sangat gembira dan menari di jalanan, tetapi mereka tidak akan menari lama. Itu saya boleh jamin,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
Trump Perkenal Duti Baharu 10 Peratus
Sebagai tindak balas, Trump berkata beliau akan menandatangani perintah eksekutif lewat Jumaat untuk mengenakan tarif 10 peratus “melebihi tarif biasa kita yang telah dikenakan” ke atas semua negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan perdagangan tambahan akan dilancarkan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, yang membenarkan presiden mengenakan tarif ke atas negara yang dianggap terlibat dalam amalan perdagangan yang “tidak wajar serta tidak munasabah atau bersifat diskriminasi.”
“Keputusan mereka salah, tetapi ia tidak penting kerana kita mempunyai alternatif yang sangat berkuasa yang telah diluluskan oleh keputusan ini,” kata Trump mengenai Mahkamah Agung.
Mahkamah dalam keputusannya menolak hujah presiden bahawa Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) 1977 membolehkannya mengenakan duti import atas dasar kecemasan.
Trump cuba menggambarkan keputusan itu sebagai didorong oleh hakim yang dilantik Demokrat. Bagaimanapun, selain tiga hakim liberal, tiga daripada enam hakim konservatif termasuk Ketua Hakim John Roberts turut menyertai keputusan majoriti menolak tarif berkenaan.
“Saya telah membaca segala-galanya. Dan saya kata, “Tidak mungkin kalah dalam kes ini, tetapi kita boleh kalah apabila hakim bersikap politik, apabila mereka mahu menjadi terlalu berhati-hati dari segi politik, apabila mereka melayan kumpulan tertentu di DC,” katanya, merujuk kepada Washington, DC.
Mahkamah turut menegaskan bahawa Perlembagaan AS secara jelas memberikan kuasa mengenakan cukai, termasuk tarif, kepada Kongres dan bukannya presiden.
“Penggubal Perlembagaan tidak meletakkan sebarang bahagian kuasa percukaian di bawah Cabang Eksekutif,” tulis Roberts bagi pihak majoriti.
Dalam perkembangan sama, Trump berkata tarif global 10 peratus itu akan dilaksanakan berasaskan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Artikel lain: Trump Kenakan Tarif 19 Peratus Terhadap Malaysia
Peruntukan itu membenarkan presiden mengenakan duti sehingga 15 peratus bagi menangani defisit imbangan pembayaran Amerika Syarikat yang besar dan serius, namun hanya untuk tempoh maksimum 150 hari melainkan dilanjutkan melalui Akta Kongres.
Trump berdepan tentangan besar untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi sebarang tarif baharu, memandangkan sebahagian ahli partinya sendiri turut menentang dasar tarif tersebut.
Ditanya mengapa beliau tidak mendapatkan kelulusan Kongres terlebih dahulu, Trump mempertahankan tindakannya.
“Saya sentiasa mempunyai hak untuk mengenakan tarif.
“Semuanya telah diluluskan oleh Kongres, jadi tiada sebab untuk berbuat demikian.
“Apa yang kita lakukan hanyalah melalui proses yang sedikit lebih rumit, tidaklah terlalu rumit, tetapi sedikit lebih rumit daripada apa yang kita ada sebelum ini,” katanya.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































