Hubungan Thailand dan Kemboja kembali tegang apabila Bangkok mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai antara kedua-dua negara, selepas dua anggota tentera Thai cedera akibat letupan periuk api berhampiran kawasan sempadan pada Isnin.
Perjanjian damai yang diselia oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu sebelum ini menjadi asas kepada usaha menghentikan pertempuran yang tercetus pada Julai lalu.
Konflik yang tercetus telah mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan kehilangan tempat tinggal.
Thailand Gantung Perjanjian Damai Dengan Kemboja
Tentera Diraja Thai dalam kenyataan memaklumkan, letupan berlaku di wilayah Sisaket, menyebabkan seorang askar cedera parah di bahagian kaki manakala seorang lagi mengalami kecederaan akibat tekanan letupan.
Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata, Bangkok mengambil keputusan untuk menghentikan “tindakan susulan ke atas deklarasi bersama” yang ditandatangani bersama Kemboja di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu.
“Langkah ini bermakna semua pelaksanaan yang dirancang, termasuk pembebasan 18 askar Kemboja yang kini ditahan di Thailand, ditangguhkan sehingga situasi keselamatan benar-benar pulih,” katanya.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pula menegaskan dalam sidang media bahawa ancaman di kawasan sempadan belum reda sepenuhnya.
“Kami fikir ancaman keselamatan telah reda, tetapi ia sebenarnya tidak berkurangan,” katanya.
Pihak berkuasa Kemboja belum memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap insiden itu, namun sebelum ini menolak tuduhan bahawa pihaknya menanam periuk api baharu di sempadan.
Kementerian Pertahanan Kemboja dalam kenyataan berasingan pada Isnin menegaskan “komitmen tidak berbelah bahagi” terhadap keamanan serantau.
Kedua-dua negara Asia Tenggara itu telah lama berdepan pertikaian sempadan sejak lebih seabad lalu, dan pertempuran pada Julai lalu berpunca daripada dakwaan Thailand bahawa Kemboja menanam periuk api yang mencederakan tenteranya.
Thailand dan Kemboja mencapai gencatan senjata pada akhir Julai hasil campur tangan Trump, selain penglibatan diplomat China serta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu mempengerusikan ASEAN.
Deklarasi bersama yang ditandatangani pada Oktober memperincikan komitmen kedua-dua negara untuk melaksanakan pembersihan periuk api, menarik balik senjata berat serta membenarkan pasukan pemantau gencatan senjata anjuran ASEAN memasuki kawasan sempadan.
Namun, sejak itu kedua-dua negara terus saling menuduh berlaku pelanggaran gencatan senjata, manakala penganalisis berpendapat usaha ke arah perdamaian menyeluruh masih jauh daripada dapat dicapai.
Sumber: Bangkok Post , FB Royal Thai Army : Update,











































