Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM103,822.56 kepada waris mendiang Poovan a/l Arumugam, 52, seorang pendeposit Simpan SSPN yang juga kakitangan kerajaan.
Simpan SSPN ringankan beban
Mendiang yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu, telah membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk dirinya dan tiga anak, selain menyertai Simpan SSPN Plus di bawah pakej Topas dan Delima untuk anak-anak beliau.
Hasil komitmen simpanan dan caruman takaful yang konsisten, waris mendiang menerima manfaat RM4,822.56 daripada Simpan SSPN Prime dan RM99,000.00 daripada Simpan SSPN Plus.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, manfaat yang diterima adalah hasil simpanan serta perlindungan takaful yang ditawarkan secara bersepadu melalui produk Simpan SSPN.
“Peristiwa ini membuktikan bahawa menyimpan melalui Simpan SSPN bukan sahaja membantu perancangan pendidikan, malah memberi perlindungan kewangan kepada keluarga jika berlaku musibah.
“Inilah nilai sebenar Simpan SSPN, simpan hari ini, lindung masa depan,” katanya pada Selasa.
Penyerahan tersebut dibuat semasa kunjungan Program Ziarah Kasih Simpan SSPN ke kediaman waris di Presint 11, Putrajaya yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sementara itu, PTPTN menjelaskan, Simpan SSPN Prime menawarkan perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas, selain pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan maksimum RM10,000 sekeluarga, serta dividen kompetitif dan dijamin kerajaan.
Artikel lain: Jamin Pendidikan, PTPTN Salur RM15,000 Buat Anak-Anak Mangsa Nahas FRU
Manakala Simpan SSPN Plus pula menyediakan enam pakej serendah RM30 hingga RM500 sebulan, dengan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian untuk pendeposit, pasangan dan anak-anak, perlindungan penyakit kritikal, elaun hospital, serta perlindungan sehingga umur 69 tahun, tertakluk kepada syarat pakej dan pengendali takaful yang dipilih.
Turut hadir Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid serta barisan pengurusan kanan PTPTN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.
