Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam dan membantah kewujudan individu yang menggelar diri sebagai coach cerai kerana disifatkan mengelirukan serta berpotensi menjejaskan proses rundingan dan perdamaian pasangan suami isteri yang berdepan kemelut rumah tangga.
Presiden PPMM, Hisham Marzuki, menegaskan individu terbabit bukan sahaja tidak relevan, malah tidak pernah mendapat sebarang pentauliahan atau lantikan rasmi daripada mana-mana pihak berautoriti untuk memberikan nasihat berkaitan isu perceraian.
PPMM Persoal Peranan Coach Cerai
Menurut beliau, dalam urusan perceraian, Mahkamah Syariah telah menetapkan prosedur jelas yang perlu dipatuhi pasangan suami isteri, termasuk melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik oleh Hakim Mahkamah Syariah.
“Dengan ada coach cerai, ia boleh mendedahkan pasangan kepada nasihat atau tindakan yang boleh menjejaskan ruang perdamaian (jika ada).
“Nama yang diberikan juga adalah coach cerai, jadi semestinya matlamat yang perlu dicapai ialah ke arah perceraian yang makruh disisi syarak. Malah nasihat yang diberikan juga adalah yang tidak kompeten seperti peguam syarie,” katanya.
Hisham berkata, JKP berperanan penting dalam menjalankan prosedur perceraian secara berperingkat dengan fungsi utama mendamaikan pasangan suami isteri yang ingin bercerai.
Antara proses yang perlu dilalui termasuk sesi rundingan, bimbingan serta mencari penyelesaian terbaik berlandaskan ajaran Islam, selain membantu menyelesaikan isu berkaitan nafkah dan penjagaan anak sebelum kes dirujuk semula ke Mahkamah Syariah.
Tambahnya, JKP juga bertindak sebagai perantaraan penting sebelum perceraian diisytiharkan bagi mengurangkan konflik serta menggalakkan keharmonian keluarga, selaras dengan prinsip Islam yang mengutamakan perpaduan rumah tangga.
“Namun, jika perceraian tidak dapat dielakkan, JKP perlu memastikan pasangan berpisah dengan cara yang paling harmoni dan adil untuk semua pihak terutamanya anak-anak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Hisham menegaskan pasangan yang berdepan masalah rumah tangga khususnya dalam proses perceraian seharusnya mendapatkan nasihat daripada peguam syarie yang lebih pakar dan arif dalam urusan berkenaan.
“Pihak yang telah melantik peguam syarie perlu memberi kepercayaan penuh kepada peguam syarie untuk mengendalikan kes tanpa melantik coach cerai kerana peguam syarie lebih mengetahui nasihat terbaik untuk anak guam mengikut situasi kes,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hisham turut memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang berlangsung pada 7 November lalu sebulat suara meluluskan usul bagi mencegah dan mengawal tindakan individu tidak bertauliah yang memberi nasihat perundangan, isu kekeluargaan serta hukum syarak.
Katanya, usul berkenaan disuarakan oleh seorang peguam syarie yang berpandangan bahawa coach cerai tidak memiliki kelayakan akademik, tauliah atau lesen untuk menawarkan khidmat nasihat dan rundingan di Mahkamah Syariah.
Terdahulu, tular di TikTok hantaran seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai coach cerai dan mendakwa khidmat yang ditawarkan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta negara luar.
Lelaki itu turut mendakwa menjalankan peranan memberi bimbingan selepas penceraian termasuk berkaitan proses perceraian mengikut keperluan semasa.
Sumber: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































