Seorang graduan yang disahkan menghidap kanser darah tahap empat mengalirkan air mata kegembiraan apabila menerima Anugerah Emas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada majlis konvokesyennya hari ini.
Nor Shamira Irwani Farid, graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dengan PNGK 3.94, didiagnosis pada 19 Ogos 2025 dengan penyakit Kanser Limfoma Hodgkin (Classic Hodgkin Lymphoma) dan disahkan berada di tahap empat sebulan kemudian.
“Pada mulanya, saya perasan ada sebiji ketulan kecil di leher kanan. Tapi disebabkan kekangan masa, saya biarkan sehingga awal tahun ini ketulan itu semakin besar dan banyak.
“Sepanjang praktikum di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), saya kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.
“Pada awal rawatan, kemoterapi yang kuat memerlukan saya dimasukkan ke wad, sehingga tidak memungkinkan saya ke UUM Sintok untuk menghadiri majlis konvokesyen ini, tetapi perancangan Allah itu lebih tepat,” kata beliau.
Pesakit Kanser Tahap 4 Terima Anugerah
Naib Canselor Prof. Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan menyentuh kisah Shamira dalam ucapan aluan sesi pertama majlis konvokesyen, mengajak semua tetamu memberikan tepukan sokongan.
“Marilah memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan dan kasih kita kepada Nor Shamira yang hadir bersama kita dalam dewan pagi ini,” katanya.
Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor UUM, mengurniakan Anugerah Emas Naib Canselor kepada Shamira.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu menunjukkan perjalanan akademiknya bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi, malah penuh dengan ketabahan luar biasa.
Hasil PET scan menunjukkan perkembangan positif, membolehkan doktor menukar rawatan kepada ubat yang kurang kuat, membolehkan beliau menghadiri sesi pertama dan sesi kelapan konvokesyen.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan puas dengan diri sendiri. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi saya peluang untuk merasai nikmat kejayaan ini. Segala penat lelah selama empat tahun ini terasa terbalas,” kata Nor Shamira.
Beliau berkata tiga sumber kekuatan utama beliau adalah keazaman, doa, dan sokongan.
Artikel lain: Suami Hadiahkan Kereta Sempena Konvo, Momen Manis Jadi Tumpuan
Keazaman menyalakan semangat sejak semester pertama untuk mengejar anugerah dan PNGK tinggi, sementara doa daripada keluarga, pensyarah, rakan-rakan, serta sokongan pasangan dan keluarga menjadi dorongan untuk menempuh cabaran pengajian dan rawatan kesihatan.
Nor Shamira berkata, beliau menghadiahkan kejayaan ini kepada ibu bapa yang banyak bersusah payah menyara beliau sejak kecil, dari MRSM Merbok hingga ke UUM.
Beliau turut menitipkan pesanan bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik atau masalah kesihatan mental:
“Jangan berputus asa. Penyakit bukan titik noktah untuk berjaya. Peganglah sekecil-kecil harapan, kerana masih ada orang yang menyokong dan mendoakan kita,” katanya.
Beliau bercita-cita menjadi pensyarah dan berkhidmat dalam bidang kerja sosial perubatan, membuktikan bahawa semangat dan ketabahan mampu menakluk segala cabaran.
Sumber: FB Universiti Utara Malaysia











































