Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Pertama Kali Masuk, Terus Emas! Pelajar Kulinari UiTM Gegar Pentas Dunia Kalahkan Peserta 12 Negara

Pertama Kali Masuk, Terus Emas

Pertama kali masuk bertanding di pentas antarabangsa, pelajar kulinari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Muhamad Sufi Irfan Mohamad Rusdin mencipta kejutan apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam kategori Confectionery Arts pada pertandingan Young Chef International Competition 2025 yang berlangsung di Kazan, Russia.

Lebih membanggakan, anak muda berusia 23 tahun dari Pasir Mas, Kelantan itu berjaya menewaskan peserta dari 12 negara termasuk Arab Saudi, Azerbaijan, Tunisia, Turki, Rusia, Indonesia, Uzbekistan, Senegal, Kazakhstan dan Iran.

“Memang saya terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, jantung berdegup laju, tangan pun sedikit menggeletar sebab tidak sangka langsung.
“Saya sertai pertandingan untuk mencabar diri serta menguji kemampuan diri pada peringkat luar negara. Satu pengalaman baharu untuk saya, saya rasa sangat bersyukur dan terharu apabila menang, Allah Maha Besar,” katanya kepada Bernama.

Pertama Kali Masuk, Terus Emas

Pertandingan yang diadakan sempena World Islamic Kazan Forum 2025 itu menyaksikan Muhamad Sufi tampil dengan tiga hidangan utama – pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut yang menggabungkan bahan tempatan Kazan dan citarasa tradisional Melayu.

Antara menu disediakan beliau ialah Ikan Kod Goreng Rangup dengan Salad Tomato dan Basil bersama Sos Lemon, Tenderloin Daging Lembu Marmar dengan Jus Kari, Sayur serta Kentang Rosti, serta Bingka Labu, Sos Oren Mandarin bersama Mousse Coklat dan Hiasan Gula.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Menu ini juga ada sentuhan tradisional Melayu yang saya mahu ketengahkan supaya juri dapat merasai keaslian serta kreativiti dalam hidangan saya,” katanya yang minat memasak sejak kecil.

Berkongsi cabaran sepanjang pertandingan, Muhamad Sufi berkata pengurusan masa dan emosi menjadi ujian terbesar.

“Tekanan paling kuat semasa pertandingan ialah untuk mengawal masa dan emosi. Kadang-kadang apabila ada gangguan atau rasa tidak cukup masa, saya mula panik, namun saya cuba bertenang dan fokus satu per satu.
“Alhamdulillah semua mengikut perancangan, apa yang saya latih, itulah yang saya buat di dapur pertandingan,” katanya yang membuat persiapan kira-kira dua minggu sebelum ke Kazan.

Artikel lain: Empat Guru Malaysia Dapat Pengiktirafan Tertinggi Dalam Dunia Pendidikan Negara

Wartawan Bernama sempat bertemu beliau secara kebetulan di Kedutaan Russia di Kuala Lumpur minggu lalu, dan mencabar beliau untuk membawa pulang emas. Sejurus tamat pertandingan, Muhamad Sufi menghubungi Bernama bagi berkongsi kejayaan itu.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada dua pensyarah UiTM yang membantu membangunkan menu, serta rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa menyokong.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Terima kasih juga kepada sahabat baik saya, Ramadhan Suhaimi yang selalu menemani saya berlatih memasak di dapur hingga awal pagi,” katanya yang menyimpan hasrat menyambung pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah dan menjadi pensyarah kulinari suatu hari nanti.

Sumber: FB Bernama 

Farah Nadia
Written By Farah Nadia

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Nama peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail mula jadi perhatian umum sejak kebelakangan ini. Bukan sahaja kerana peranan besarnya dalam kes sensasi...

Sosial

Baru-baru ini, sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya dikecohkan dengan kejadian gangguan entiti seram yang tular di media sosial. Rakaman video dan gambar yang dikongsi...

Sosial

Dua minggu lalu, Siti Norshahila Balqis Roslan, 19, melangkah penuh semangat ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Ayer Hitam, Jempol dengan senyuman dan lambaian terakhir...

Lokal

Seorang lelaki dilaporkan hilang telah ditemukan meninggal dunia di dalam hutan air terjun di Kampung Teluk Sanau, Baling. Memetik laporan Berita Harian, Ketua Balai...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd