Seorang pengerusi kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah milik individu di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil, pada 19 Jun tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh, M Paramaguru, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Foto: Harian Metro
Berdasarkan pertuduhan, Paramaguru didakwa melakukan pencerobohan jenayah apabila memasuki tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran.
Perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira jam 4.45 petang di lokasi sama pada tarikh berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Foto: Media sosial
Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Namun, peguam bela tertuduh Darshela Hari Raja merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,800 sebulan sebagai pengawal keselamatan.
“Anak guam sudah berkahwin serta mempunyai dua anak masih kecil masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala isterinya berumur 41 tahun pula adalah suri rumah yang bergantung dengan pendapatan suami.
“Justeru, kami mohon jumlah wang jaminan lebih rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 12 Mac ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen.
Terdahulu, tertuduh ditahan di kediamannya di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada jam 3.30 petang semalam.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pemilik tanah persendirian di Taman Topaz memberi tempoh seminggu kepada pengurusan kuil berkenaan untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.
Sumber: Harian Metro (Nurul Hidayah Bahaudin)







































